Shah Alam, 29 Julai – Sekolah Rendah Islam Al Hijrah (Sri Al Hijrah) terus memperkukuhkan persediaan calon PSRA dan UPKK bagi sesi 2026 menerusi pelbagai program akademik yang disusun secara berfokus.
Antara program yang telah dirancang ialah Peperiksaan Percubaan PSRA pada 17 hingga 21 Ogos 2026, diikuti Peperiksaan PSRA pada 21 hingga 25 September 2026, Peperiksaan Percubaan UPKK pada 5 hingga 8 Oktober 2026, serta Bengkel Teknik Menjawab Soalan (BTMS) UPKK pada 24 Oktober 2026.
Bagi meningkatkan tahap penguasaan calon, pihak sekolah turut mengadakan kelas tambahan setiap hari dari jam 5.00 petang hingga 5.30 petang, selain melaksanakan latihan tubi menggunakan set soalan berfokus serta kelas intensif bagi membantu murid membuat persediaan yang lebih mantap.
Usaha ini mencerminkan komitmen Sri Al Hijrah dalam memastikan setiap calon menghadapi peperiksaan dengan ilmu, keyakinan dan persediaan yang rapi. Pihak sekolah turut berharap agar sokongan berterusan daripada ibu bapa dan guru menjadi pemangkin kejayaan calon-calon PSRA dan UPKK pada tahun 2026.
